Ruwaida Md Zain


Klang: Pengguna jalan raya yang sentiasa berulang-alik melalui Jalan Pandamaran Jaya berhampiran Pintu Air Pandamaran 12 di sini sudah lali dengan limpahan air yang merentasi jalan itu sejak beberapa tahun lalu susulan fenomena air pasang besar.

Mahu atau tidak, mereka perlu melalui jalan yang menghubungi kawasan sekitar Klang termasuk ke Telok Gong dan juga Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), setiap hari.

Menurut penjaga pintu air Pandamaran itu, Akmal Hakim, 32, yang bertugas di situ sejak awal tahun lalu, senario berkenaan sudah biasa ditempuhi penduduk sekitar dan pengguna jalan raya.

Katanya, kira-kira jam 5.30 pagi semalam, air sudah mulai melimpah dan bacaan maksimum 5.5 meter (m) pada jam 6 pagi, begitu juga hari ini.

HUSSIN Ab Rahman bersama anggota BBP Pelabuhan Klang meninjau keadaan limpahan air di Jalan Pandamaran Jaya berhampiran Pintu Air Pandamaran 12. FOTO Ruwaida Md Zain
HUSSIN Ab Rahman bersama anggota BBP Pelabuhan Klang meninjau keadaan limpahan air di Jalan Pandamaran Jaya berhampiran Pintu Air Pandamaran 12. FOTO Ruwaida Md Zain

"Kalau 5.5 m, itu memang betul-betul melimpah ke jalan raya seperti pagi ini. Setiap tahun seperti ini, tetapi tahun lalu lebih tinggi kerana mencecah sehingga 5.8 m.

"Tiada pengguna jalan raya yang merungut dengan keadaan ini kerana pengguna yang melalui jalan ini sudah biasa, saya mula jaga tahun ini tetapi maklumat dari penduduk memang sudah lama begini.. berulang-alik lalu dalam keadaan limpahan air begini.

"Bulan lalu 5.4 m sahaja tetapi jika 5.5 m memang akan melimpah ke jalan macam hari ini. Esok dijangka 5.5 m juga, esok hari terakhir," katanya yang ditemui di lokasi berkenaan pagi tadi.

Sementara itu, Ketua Zon Bomba Klang, Hussin Ab Rahman mengingatkan pengguna jalan raya yang akan menggunakan laluan berkenaan pagi esok supaya lebih berhati-hati memandangkan situasi sama akan berlaku antara 5 pagi hingga 7 pagi.

"Memandangkan air melimpah ke jalan jadi kita minta pengguna yang melalui jalan ini perlahankan kenderaan masing-masing bagi mengelakkan berlaku sebarang kemalangan.

"Kalau mereka memandu agak laju, kemungkinan tidak perasaan air bertakung dan ini akan menyebabkan kenderaan tersasar dan tidak dapat menekan brek dengan selamat. Jadi, mohon berhati-hati," katanya.

Terdahulu beliau turut melakukan pemantauan di pintu air terbabit bersama lapan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Mengulas mengenai perkembangan terkini pemantauan di lokasi yang dijangkakan katanya, setakat ini, tiada lokasi yang berisiko tinggi memandangkan cuaca dalam keadaan baik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 9:42 AM