Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah
BERNAMA

Bentong: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menitahkan supaya satu kajian pembangunan semula Kampung Baru Karak, di sini dilakukan secara holistik dengan mengutamakan ciri keselamatan.

Baginda bertitah dengan kajian menyeluruh dapat membangunkan semula penempatan itu dengan lebih selesa kepada penduduk kampung berkenaan pada masa hadapan.

"Kalau boleh, kaji seluruh kawasan ini terutama dari segi keselamatan dengan ambil kira beberapa aspek antaranya kedudukan rumah, elektik dan sistem air.

"Saya juga berharap mangsa kebakaran tabah dan bangkit semula meskipun terpaksa berhadapan dengan cabaran terutama ketika pandemik Covid-19 ini," titah baginda ketika mencemar duli melawat lokasi kebakaran di Kampung Baru Karak, di sini hari ini.

Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Seri Paduka yang juga Sultan Pahang turut merakamkan penghargaan kepada pasukan bomba, polis dan semua pihak yang terlibat membantu mangsa kebakaran dalam kejadian 9 malam yang mengakibatkan 51 rumah dan lapan unit kedai musnah pada 1 Okt lalu.

Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa atau kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

Al-Sultan Abdullah turut mengingatkan rakyat supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengenakan pelitup muka selain mengambil suntikan vaksin Covid-19.

"Jaga kesihatan, kenakan pelitup muka dan saya nasihatkan ambil vaksin kerana kita juga perlu jaga orang di sekeliling kita," titah baginda.

Terdahulu, ketibaan baginda berdua pada 10.15 pagi di lokasi kebakaran itu disambut Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin dan Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Mohamed Yoosuf.

Sejurus tiba, Seri Paduka berdua dipersembahkan taklimat oleh Pegawai Daerah Bentong Datuk Mohd Zulkifli Hashim sebelum menyantuni mangsa kebakaran di Dewan Jawatankuasa Keselamatan dan Kemakmuran Kampung Baru Karak, di sini.

Baginda berdua turut dipersembahkan taklimat cadangan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Semula Rumah Kampung Baru Karak yang juga bekas Ahli Parlimen Bentong Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menyaksikan penyerahan sumbangan daripada Persatuan Pandu Puteri Malaysia, syarikat dan individu perseorangan kepada mangsa kebakaran.

Sementara itu, Liow ketika ditemui pemberita berkata pihaknya sudah menyiapkan pelan cadangan untuk membina semula rumah penduduk yang terlibat dalam kebakaran berkenaan.

"Setakat ini kita ada dua reka bentuk mengikut keluasan rumah mereka, reka bentuk yang sama dilihat dapat memudahkan kerja pembinaan dan kelulusan, namun kita mengharapkan kerajaan negeri memberi kelonggaran syarat-syarat tertentu kerana pembinaan semula ini melibatkan tapak rumah lama.

"Semua mangsa kebakaran menumpang di rumah saudara-mara masing-masing, dan kita mengharapkan kerjasama semua pihak supaya pembinaan ini berjalan lancar dan dapat dimulakan pada awal tahun depan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 3:33 PM