Samadi Ahmad


Putrajaya: Pihak subkontraktor dan pemandu lori yang terbabit dengan insiden kanvas 'terbang' hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang bagi membuat laporan pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintendan Md Noor Aehwan Mohammad berkata, mereka hadir ke IPD Sepang bagi membantu siasatan.

Menurutnya, pemandu lori berkenaan memberi kerjasama ketika hadir membuat laporan dan kes masih dalam siasatan.

Katanya, penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabit dalam insiden berkenaan masih belum membuat laporan dan dipercayai warga asing.

"Polis masih mengesan kedua mangsa terbabit bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi.

Semalam Harian Metro melaporkan Pengarah Urusan KDEB Waste Management (KDEBWM) Ramli Mohd Tahir berkata, kejadian itu membabitkan lori sampah milik syarikatnya.

Katanya, KDEBWM melahirkan rasa kesal dengan insiden yang berlaku dan tindakan keras diambil terhadap subkontraktor, pemandu dan krew lori terbabit.

Kejadian yang tular di media sosial itu dipercayai berlaku di Kilometer 33.5 Jalan Puchong berhampiran susur menghala Kajang, dekat Sepang, pada 8 pagi Rabu lalu.

Video tular berdurasi 45 saat itu antara lain menunjukkan kanvas lori melayang dan 'membalut' badan dua individu yang sedang menaiki motosikal sebelum hilang kawalan dan terlanggar tayar treler bergerak laju.

Berita berkaitan

Sub-kontraktor, pemandu lori kanvas 'terbang' akan buat laporan esok

Kanvas lori tercabut, polis kesan pemilik 'dashcam'

Kanvas melayang nyaris ragut nyawa [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 November 2021 @ 11:18 AM