Talat Mahmood Abdul Rashid
Talat Mahmood Abdul Rashid
Melvin Joni


Kuching: Tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN-12) Sarawak belum lagi dibincangkan setakat ini, kata Peguam Besar negeri Datuk Seri Talat Mahmood Abdul Rashid.

Beliau berkata, perbincangan akan dibuat antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan mengambil kira keadaan semasa termasuk cuaca.

"Kerajaan negeri bersama-sama pihak berkuasa berkaitan akan berbincang dengan SPR bila masa sesuai dan terbaik (untuk mengadakan pilihan raya) dengan mengambil kira perkara seperti musim tengkujuh dan sebagainya.

"Ini bagi memastikan ia selesa untuk rakyat," katanya dihubungi hari ini.

Talat Mahmood menambah, perbincangan mengenai perkara itu akan dibuat dalam masa terdekat memandangkan warta Kerajaan Persekutuan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak baharu dikeluarkan hari ini, susulan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Menjelas lanjut, Talat Mahmood berkata, berdasarkan undang-undang darurat, tarikh Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak akan terbubar mengikut tarikh Proklamasi Darurat dibatalkan atau diungkaikan.

Namun, kata Talat Mahmood, daripada segi proses, Yang Dipertua Negeri perlu mengeluarkan proklamasi pembubaran Dun kerana undang-undang konstitusi Sarawak sedia ada akan terpakai semula selepas tamat darurat.

"Selepas itu, Speaker Dun akan diberitahu, dimaklumkan tentang pembubaran dan pihak Speaker akan menghubungi SPR dan SPR akan membuat apa yang sepatutnya untuk menentukan tarikh pilihan raya.

"Ini kerana, tarikh pilihan raya ditetapkan oleh SPR, jadi kita tunggu pengumuman SPR," katanya.

Sementara itu, Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak menerusi kenyataan hari ini menyatakan, SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan pelaksanaan PRN-12 Sarawak.

"Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan oleh pihak SPR," katanya.

Ikmalrudin berkata, berdasarkan Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dun hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

"Di bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:36 PM