Nurul Amanina Suhaini

Pontian: Fenomena air pasang besar yang menjadi tarikan utama di Taman Negara Tanjung Piai, di sini, berada pada paras normal.

Pengurus merangkap Pegawai Penyelidik Taman Negara Tanjung Piai, Lili Tokiman, berkata, fenomena itu yang bermula hari ini dijangka terus meningkat menjelang Sabtu ini.

"Berdasarkan makluman Jabatan Laut Malaysia (JLM), paras air pada hari ini masih berada dalam keadaan terkawal iaitu pada ketinggian 3.2 meter daripada paras laut.

"Taman Negara Tanjung Piai adalah kawasan utama bagi yang mahu melihat air pasang besar kerana jika berlaku, air akan terus menyusuri fasiliti (kemudahan) kami dan ini antara tarikan unik yang ditunggu-tunggu pengunjung jika datang ke sini, setiap hujung tahun.

"Pada ketika ini, perairan di kawasan sekitar masih berada di paras rendah iaitu 3.2 meter dan untuk berlakunya limpahan ia perlu dalam ketinggian 3.5 meter, selain kita menjangkakan ia berlaku pada Sabtu ini.

"Keadaan seumpama juga berlaku di kawasan sekitar iaitu di pesisiran Pantai Kukup, di sini, pada jarak empat kilometer daripada sini, sehubungan itu, kawalan keselamatan dan pemantauan pengunjung akan dilaksanakan," katanya.

Kelihatan orang ramai mengambil gambar kenang-kenangan di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN
Kelihatan orang ramai mengambil gambar kenang-kenangan di Taman Negara Johor Tanjung Piai, Pontian. FOTO NUR AISYAH MAZALAN

Sementara itu, pengunjung, Siti Rohani Manap, 58, berkata dia bersama suaminya, Abdul Majid Said, 62, tiba sejak awal pagi supaya tidak terlepas melihat fenomena alam berkenaan.

"Saya sekeluarga dari Ayer Baloi, di sini, memang sering berkunjung untuk beriadah bagi melihat pokok bakau, apatah lagi fenomena ini hanya dapat dilihat pada penghujung tahun," katanya.

Bagi pengunjung, Mohamad Idzwan Tarikh Afandi, 36, berkata apabila Johor memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), dia bersama kumpulan motosikal mengambil kesempatan membuat aktiviti terbuka.

"Saya tiba di Johor pada Rabu (semalam), ini pertama kali saya tiba di lokasi bagi melihat sendiri kawasan yang dinamakan penghujung benua Asia.

"Selain jauh dari kawasan bandar, kebanyakan pengunjung sememangnya menantikan aktiviti berkaitan dengan alam semula jadi selepas lebih setahun hanya terkurung di dalam rumah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 5:05 PM