GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuching: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi negeri itu semalam.

Setiausaha SPR Datuk Ikmalrudin Ishak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan berdasarkan Seksyen 3 (3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021, Dewan Undangan Negeri hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

"Di bawah Seksyen 3 (4) Ordinan yang sama berkehendakkan suatu pilihan raya umum hendaklah diadakan dalam tempoh enam puluh hari dari tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.

"Justeru itu, SPR akan mengadakan Mesyuarat Khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut… Tarikh mesyuarat berkenaan akan dimaklumkan kemudian oleh SPR," katanya.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.

Pemangku Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Azuan Effendy Zairakithnaini dalam kenyataan semalam memaklumkan perkenan Seri Paduka terhadap pembatalan Proklamasi Darurat berkenaan selaras dengan Perkara 40 dan 40(1A) Perlembagaan Persekutuan.

Pembatalan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak tamat pada 6 Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 4:42 PM