GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Samadi Ahmad


Putrajaya: Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) membenarkan kehadiran jemaah warga asing untuk menunaikan solat fardu berjemaah di masjid dan surau dengan syarat lengkap divaksin berkuatkuasa waktu solat Maghrib, hari ini.

Pengarah JAWI,Datuk Mohd Ajib Ismail berkata, penjarakan satu setengah meter yang diadakan sebelum ini dikurangkan kepada satu meter.

Menurutnya, kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke atas yang mendapat vaksin lengkap dibenarkan untuk menunaikan solat berjemaah.

Katanya, murid tadika dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dibenarkan menghadiri kelas pengajian yang beroperasi dalam premis masjid dan surau berpandukan Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah.

"Penganjuran majlis sosial dibenarkan seperti kenduri, majlis sambutan perayaan, majlis perkahwinan, majlis aqiqah dan lain-lain majlis untuk diadakan di dewan masjid dan surau bagi individu yang telah lengkap menerima vaksin dengan 50 peratus kapasiti ruang dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP)."

"Ketetapan baharu berhubung aktiviti pengimarahan di masjid dan surau di Wilayah Persekutuan ini setelah mendapat perkenan

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya melalui satu kenyataan, hari ini.

Mohd Ajib berkata, orang ramai dinasihatkan mematuhi SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, pengumuman baharu ini diharap dapat memberi peluang lebih ramai jemaah mengimarahkan masjid dan surau di Wilayah Persekutuan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 12:01 PM