Samadi Ahmad


Putrajaya: Gara-gara kanvas terbang, penunggang dan pembonceng motosikal nyaris maut digilis treler apabila kenderaan yang sedang dinaiki terjatuh di jalan raya.

Kejadian berlaku apabila sebuah lori tertanggal kanvas dan melayang ke arah penunggang dan pembonceng motosikal yang kebetulan berada di belakang kenderaan terbabit.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang tular, kanvas yang melayang itu 'membalut' badan dua individu yang sedang menaiki motosikal menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan dan terlanggar tayar treler yang bergerak laju.

Kedua mereka terjatuh di jalan raya namun bernasib baik kerana masih mampu berdiri.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, setakat ini polis tidak menerima sebarang laporan berkenaan kejadian itu.

Katanya, kejadian itu mungkin berlaku di sempadan Serdang, Puchong atau Sepang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 November 2021 @ 10:32 AM