Foto hiasan
Foto hiasan
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Pemandu kereta sapu di Ranau dan penjaga pintu pagar di sebuah ladang kelapa sawit di Kinabatangan masing-masing mencetuskan dua kluster baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, pemandu kereta sapu berusia 37 tahun itu mencetuskan Kluster Tumbalang selepas lelaki terbabit dikesan positif Covid-19 pada 23 Oktober lalu kerana bergejala.

Menurutnya, saringan kontak rapat yang dilakukan bermula 25 Oktober lalu sehingga kelmarin pula mendapati seramai 54 orang dari lokaliti yang sama termasuk kes indeks yang dikesan positif Covid-19.

"Hari ini ada tambahan dua orang lagi penduduk dari Kampung Tumbalang yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan kontak rapat di Klinik Timbua, menjadikan keseluruhan sebanyak 56 kes," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Masidi berkata, lelaki warga Indonesia berusia 47 tahun yang bekerja sebagai penjaga pintu pagar di sebuah ladang kelapa sawit mencetuskan Kluster Sawit Jati, Kinabatangan selepas dikesan positif Covid-19 pada 21 Oktober lalu.

Menurutnya, aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 25 kontak sosial, pekerja dan tanggungan masing-masing positif Covid-19.

"Siasatan, persampelan Covid-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebarang jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang berdekatan yang lain," katanya.

Secara keseluruhan, sebanyak 675 kes baharu Covid-19 dengan empat kematian iaitu masing-masing satu kes di Keningau, Nabawan, Kota Marudu dan Kota Kinabalu dilaporkan di Sabah hari ini.

Seramai 436 pesakit pula dilaporkan sembuh, manakala 1,848 pesakit sedang menerima rawatan di hospital dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC).

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 11:12 PM