Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Sebanyak 4,947 kes sembuh direkodkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhannya adalah 2,390,379 kes iaitu 96.1 peratus daripada keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes jangkitan baharu Covid-19 pula adalah 5,291 kes hari ini.

Menurutnya, data terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di Malaysia setakat ini adalah 2,486,630 kes.

Katanya, daripada jumlah kes harian positif yang direkodkan hari ini, sebanyak 75 kes atau 1.4 peratus membabitkan kategori tiga, empat dan lima, manakala 5,216 atau 98.6 peratus lagi adalah bagi kategori satu dan dua.

"Bilangan pesakit yang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kini seramai 545 orang iaitu 534 disahkan Covid-19, 11 pula disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan.

"Daripada jumlah itu, seramai 286 individu memerlukan alat bantuan pernafasan membabitkan 214 disahkan Covid-19 manakala 72 disyaki, kemungkinan dan dalam siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti tujuh kluster baharu di mana pertambahan kluster baharu itu menjadikan 5,788 kluster sudah dilaporkan setakat ini dengan 390 kluster masih aktif.

Katanya, maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman web http://covidnow.moh.gov.my dengan data setiap hari dikemaskini selepas tengah malam.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 8:37 PM