FOTO hiasan
FOTO hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Nelayan bot kecil dinasihat tidak keluar ke laut ketika fenomena air pasang besar yang diramal bermula esok, berikutan ia boleh mengundang bahaya.

Pengerusi Persatuan Nelayan Kebangsaan (Nekmat), Abdul Hamid Bahari berkata, keadaan laut tidak menentu dan ombak dijangka setinggi tiga meter boleh mengakibatkan bot kecil terbalik.

Katanya, bagi bot nelayan besar pula dinasihat sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan pastikan alat kelengkapan berada dalam keadaan baik.

"Semua nelayan di negara ini diminta berhati-hati dan jika boleh nelayan menggunakan bot kecil tidak perlu turun ke laut sepanjang tempoh air pasang besar.

"Dengan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini, ia boleh mengundang bahaya kepada nelayan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Berdasarkan laporan pihak berkuasa, air pasang besar dijangka bermula esok dengan ombak diramal mencapai 2.9 meter pada Jumaat dan 3.1 meter pada Sabtu sebelum mulai reda pada Ahad.

Antara kawasan dijangka terkesan adalah kawasan pesisir pantai Kuala Muda, Kuala Kedah, Yan dan Langkawi.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, harga ikan dan hasil tangkapan laut di seluruh negara dijangka meningkat berikutan fenomena air pasang besar berkenaan.

Katanya, peningkatan harga ikan hanya membabitkan tangkapan ikan segar yang sentiasa mendapat permintaan tinggi, sedangkan nelayan tidak dapat ke laut.

"Namun, Nekmat dan kebanyakan pembekal ikan sudah melakukan persediaan dengan menyimpan stok ikan sejuk beku di tempat penyimpanan masing-masing bagi menampung permintaan pengguna.

"Harga ikan sejuk beku dijual pada harga biasa, malah jauh lebih murah berbanding ikan segar sedangkan kualitinya adalah sama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 10:35 AM