GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Individu berusia antara 18 hingga 59 tahun mencatatkan angka tertinggi yang menyumbang kepada pertambahan kes Covid-19.

Menerusi data COVIDNOW, sehingga semalam, terdapat 3,662 kes yang dilaporkan membabitkan individu dalam lingkungan usia berkenaan.

Selain itu, kedua tertinggi membabitkan usia 0 hingga 11 tahun dengan 1,033 kes diikuti 60 tahun dan ke atas (716) serta 12 hingga 17 tahun (217) kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan sehingga jam 12 tengah hari semalam terdapat 4,620 kes Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan individu dijangkiti virus berkenaan ialah 2,476,268 kes.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menerusi ciapan di Twitter memaklumkan terdapat lima negeri mengatasi nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 yang kini pada kadar 0.96.

Lima negeri yang tinggi nilai Rt ialah Putrajaya dengan 1.06 diikuti Kuala Lumpur (1.01), Negeri Sembilan (1) dan masing-masing pada kadar 0.98 di Selangor dan Melaka.

Sementara itu, nilai Rt di Kedah adalah 0.96, masing-masing 0.95 di Pahang, Sabah, Perlis, masing-masing 0.9 di Pulau Pinang dan Terengganu, Kelantan (0.87) serta masing-masing 0.86 di Johor, Perak dan Sarawak.

Nilai Rt di negara ini terus menunjukkan peningkatan berbanding yang dicatatkan pada 25 Oktober lalu, iaitu pada kadar 0.88.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 11:18 AM