Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan stor gudang menyimpan perabot di sebuah bangunan di Tasik Beris. FOTO IHSAN BOMBA
Anggota bomba memadam kebakaran membabitkan stor gudang menyimpan perabot di sebuah bangunan di Tasik Beris. FOTO IHSAN BOMBA
Zuliaty Zulkiffli


Sik: Sebuah gudang menyimpan perabot untuk disumbangkan kepada orang awam di bangunan di Tasik Beris, di sini, musnah dalam kebakaran, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu pada 7.19 pagi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sik tiba di lokasi yang turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Jeniang.

"Setibanya di tempat kejadian didapati kebakaran membabitkan stor gudang kelas A.

"Penilaian awal kemusnahan kebakaran pada bahagian stor gudang adalah hampir 60 peratus yang membabitkan barangan perabot yang akan disumbangkan kepada orang awam," katanya.

Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran itu tidak membabitkan mangsa dan meerka berjaya mengawal api pada 8.07 pagi.

Beliau berkata, api dapat dipadamkan sepenuhnya pada 8.21 pagi dan kerja-kerja overhaul dilakukan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi punca api.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 8:00 PM