Sekitar lawatan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama KPDNHEP Selangor. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
Sekitar lawatan, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni bersama KPDNHEP Selangor. FOTO IHSAN KPDNHEP SELANGOR
Ruwaida Md Zain

Shah Alam: Tiada tolak ansur apabila peniaga yang enggan mematuhi Skim Harga Maksimum Perayaan Deepavali 2021 bakal dikenakan tindakan kompaun berat serta merta.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memaklumkan harga kawalan itu bermula semalam hingga 7 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Pengguna Selangor, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan lebih tegas berbanding sebelum ini akan diambil iaitu tiga kali ganda dari kadar biasa.

"Peniaga yang melakukan kesalahan akan diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta boleh dikenakan penalti.

"Tindakan ini sebagai peringatan dan pengajaran kepada peniaga, memandangkan tempoh masa pelaksanaan dipendekkan dan jumlah barangan dikurangkan berbanding perayaan sebelum ini," katanya sempena Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2021 peringkat Negeri Selangor di sebuah pasar raya di Rawang tadi.

Turut hadir, Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad.

Mohd Zawawi berkata, pelaksanaan SHMMP DV 2021 bertujuan menstabilkan dan mengekang kenaikan harga barang keperluan menjelang perayaan Deepavali yang akan disambut pada 4 November di seluruh Negara.

"Sejumlah 11 jenis barangan ditentukan harga maksimum bagi pelaksanaan SHMMP DV 2021, antaranya ayam standard (RM9.50) bagi 1 kilogram (kg), ayam super (RM10.50), telur ayam gred A (RM0.44) sebiji.

"Bagi daging kambing import bertulang berharga RM36 setiap 1 kg, cili merah 1 kg ( RM15), manakala kelapa parut 1 kg pula RM7.60.

"Pada masa sama, pengguna di sekitar Selangor tidak perlu risau berikutan kedudukan bekalan semasa adalah stabil sehingga menjelang musim perayaan," katanya.

Beliau berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP Selangor akan berada di lokasi tumpuan orang ramai seperti pasar awam, pasar tani dan pasar raya untuk menjalankan pemeriksaan dan pemantauan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:49 PM