Azman (kiri) bersama Ketua Bahagian Aktiviti Huluan dan Pengurusan Konsesi Bernas,  Abdul Rahman Mohd Nasri menunjukkan beras keluaran Malaysia dan import. FOTO IHSAN MAFI
Azman (kiri) bersama Ketua Bahagian Aktiviti Huluan dan Pengurusan Konsesi Bernas, Abdul Rahman Mohd Nasri menunjukkan beras keluaran Malaysia dan import. FOTO IHSAN MAFI
Muhaamad Hafis Nawawi


Shah Alam: Keluarkan pek beras satu kilogram untuk bantu mereka yang terkesan dengan keadaan ekonomi semasa susulan pandemik Covid-19.

Itu inisiatif Kawalselia Padi dan Beras (KPB), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) dan Padi Beras Nasional Berhad (Bernas) untuk membantu pengguna mendapatkan beras pada harga murah.

Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Azman Mahmood berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Pengarah-Pengarah Negeri KPB di Shah Alam, hari ini.

Katanya, inisiatif kali pertama seumpamanya itu akan dilaksanakan bagi memastikan pengguna dapat membeli beras pada harga RM2.60 sekilogram.

"Sebelum ini kita menyediakan pek beras lima kilogram. Ketika pandemik, kita dapati ada dalam kalangan rakyat yang terkesan dan sukar mendapatkan beras.

"Justeru, mesyuarat hari ini menetapkan kita akan keluarkan pek satu kilogram untuk memudahkan sesiapa sahaja mendapatkan komoditi ini dengan harga murah," katanya.

Azman berkata, ia akan dilancarkan bersama beras wangi tempatan Smart Sawah Berskala Besar Mafi di dalam masa terdekat.

Menurutnya, mesyuarat sama juga membincangkan mengenai tindakan tegas kepada mereka yang sengaja menyembunyikan benih padi sah.

Katanya, tindakan juga akan diambil mengikut Akta 522 kepada peruncit yang menjual benih padi melebihi harga siling RM35 bagi setiap 20 kilogram.

"Kita akan pergiatkan penguatkuasaan berkaitan padi dan beras bagi memastikan kesejahteraan pesawah dan pengguna di Malaysia.

"Kawalselia juga tidak akan berkompromi dengan mereka yang bersubahat termasuk mendakwa mereka yang mengeluarkan kenyataan media tanpa bukti sahih," katanya.

Azman berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan beberapa agensi seperti Pasukan Gerakan Am, polis, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia untuk menangani isu penyeludupan beras yang dibawa masuk secara tidak sah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 6:02 PM