Amir Mamat


Melaka: Tidak ada lagi rundingan antara UMNO dengan BERSATU dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, berkata, pintu rundingan antara kedua-dua parti berkenaan sudah tertutup rapat, sebaliknya hanya tertumpu kepada usaha memperkukuhkan lagi Muafakat Nasional (MN) yang sudah dimeterai UMNO bersama PAS.

"UMNO Melaka memuktamadkan untuk tidak bekerjasama dengan BERSATU dan itu satu keputusan serius yang dicapai menerusi Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tahun lalu.

"Justeru semua enam bahagian UMNO di Melaka akan menolak sebarang bentuk kerjasama politik dengan BERSATU, sebaliknya hanya menumpukan kepada kerjasama dengan PAS menerusi MN," katanya pada sidang medianya di Baitul Tariq, Klebang di sini, tadi.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali serta Timbalan Ketua UMNO Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman.

MOHAMAD Ali (tengah) pada sidang media. FOTO Syafeeq Ahmad
MOHAMAD Ali (tengah) pada sidang media. FOTO Syafeeq Ahmad

Mengulas lanjut, Mohamad Ali yang juga Timbalan Pengerusi BN negeri, berkata UMNO Melaka akan memperkasakan lagi MN dan segala bentuk rundingan bersama PAS akan dilakukan menerusi perbincangan terus bersama parti terbabit.

"Ini jelas menunjukkan bahawa keputusan yang kami buat ini (menolak kerjasama dengan BERSATU) adalah kehendak akar umbi berikutan tindakan parti terbabit yang banyak mengguris hati dan perasaan ahli UMNO, khususnya di Melaka.

"Justeru, UMNO negeri melalui semua ketua bahagian parti bersepakat supaya tidak akan ada apa-apa rundingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung dengan BERSATU dalam pilihan raya ini," katanya.

Sementara itu, Mohamad Ali berkata, pihaknya sudah mengadakan pertemuan dengan Pesuruhjaya PAS Melaka, Datuk Kamarudin Sidek bagi membincangkan mengenai kerjasama dalam menghadapi PRN.

"Saya menyatakan kepada PAS bahawa kerjasama ini penting bagi memastikan tiada perpecahan umat Islam dan Melayu yang lebih besar berlaku di negeri ini. Insya-Allah, pertemuan dengan PAS akan diadakan lebih selepas ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:06 PM