Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Seramai 1,306 individu menerima anugerah darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan sempena sambutan Ulang Tahun ke-72 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, di Dewan Sri Pinang, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, Ahmad Fuzi hadir bersama isterinya, Toh Puan Khadijah Mohd Nor pada 9 pagi.

Pengerusi Kumpulan Media Prima Bhd, Datuk Dr Syed Hussian Aljunid mendahului senarai penerima hari ini apabila menerima anugerah Darjah Kedua Tertinggi bagi Pulau Pinang.

Beliau dianugerahkan Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Terdahulu, Ahmad Fuzi ketika berucap melahirkan rasa syukur berikutan kes Covid-19 di Pulau Pinang semakin menunjukkan pengurangan kes.

Katanya, berikutan kerjasama rakyat, kadar vaksinasi lengkap di Pulau Pinang kini sudah mencecah 82.2 peratus termasuk dewasa dan remaja sehingga 27 Oktober lalu.

"Kerajaan Negeri melalui Pakej Bantuan Rakyat berjumlah RM176.45 juta sudah disalurkan kepada individu serta pihak terkesan sejak berlakunya penularan Covid-19 dari tahun lalu sehingga kini.

Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyampaikan anugerah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Dr Syed Hussian Al-Junid di Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena sambutan Ulang Tahun Ke-72 di Dewan Sri Pinang, hari ini. FOTO MIKAIL ONG
Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak menyampaikan anugerah Darjah Panglima Pangkuan Negeri (DPPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Dr Syed Hussian Al-Junid di Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran Bintang dan Pingat Kehormatan Negeri sempena sambutan Ulang Tahun Ke-72 di Dewan Sri Pinang, hari ini. FOTO MIKAIL ONG

"Dalam keadaan ekonomi masih tidak begitu stabil ini, terdapat sebahagian rakyat terkena tempiasnya, justeru, bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan, kerajaan negeri diharap akan terus memperkukuhkan prinsip urus tadbir baik serta efisien.

"Sebarang keputusan dasar perancangan pembangunan yang dibuat hendaklah berpaksikan kepada keadilan dan mengambil kira semua keperluan rakyat negeri ini tanpa mengira agama, bangsa dan kaum serta sebarang fahaman politik," katanya ketika berucap, hari ini.

Sempena sambutan berkenaan, Ahmad Fuzi turut menganugerahkan Darjah Gemilang Pangkuan Negeri (DGPN) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada 15 penerima; Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri (DMPM) yang membawa gelaran Datuk (14 penerima) dan Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN) yang turut membawa gelaran Datuk kepada 116 penerima.

Selain itu, seramai 66 individu akan menerima Darjah Johan Negeri; Bintang Cemerlang Negeri (42); Pingat Kelakuan Terpuji (195); Pingat Jasa Kebaktian (287); Pingat Jasa Masyarakat (274) serta Pingat Bakti Setia (24).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 3:54 PM