Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi fokus kepada tiga aspek bagi menjamin kualiti capaian internet lebih laju dan ekosistem perkhidmatan jalur lebar.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa berkata, aspek pertama iaitu prasarana mencukupi bagi memastikan tahap kesampaian perkhidmatan internet kesemua kawasan termasuk di luar bandar.

Katanya, perkhidmatan yang disediakan perlu berkualiti iaitu 4G dengan kadar kelajuan kira-kira 35 megabit per saat (Mbps).

"Itu adalah kayu ukur sama ada sesuatu tempat itu sudah menerima perkhidmatan bukan hanya ada liputan, tetapi liputan bertaraf 4G. Yang kedua kena ada peranti. Ini ibarat kita bina lebuh raya, peranti itu adalah kenderaannya.

"Aspek ketiga adalah aplikasi, ada lebuh raya, ada kereta dan hendak guna untuk ke destinasi. Baru lengkap ekosistem perkhidmatan jalur lebar negara dengan prasarana berkualiti, perkhidmatan 4G serta 5G yang mula diperkenalkan kepada negara kita.

Annuar Musa menyampaikan sumbangan Tablet Huawei MatePad 10 kepada pelajar Tingkatan Enam dalam Parlimen Ketereh di Dewan Khatam Putra Chengal di Ketereh di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI
Annuar Musa menyampaikan sumbangan Tablet Huawei MatePad 10 kepada pelajar Tingkatan Enam dalam Parlimen Ketereh di Dewan Khatam Putra Chengal di Ketereh di sini, hari ini. FOTO HIDAYATIDAYU RAZALI

"Kemudian mesti mempunyai peranti yang sesuai dan mampu oleh semua rakyat termasuk golongan miskin. Sebab itu saya perkenalkan pakej peranti Keluarga Malaysia dengan hanya bayar RM40 langganan untuk dapat peranti 4G secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan tablet Huawei MatePad 10 sumbangan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd kepada 200 pelajar di Ketereh, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Technologies Michael Yuan.

Dalam pada itu, Annuar berkata, sumbangan peranti kepada pelajar yang memerlukan iaitu golongan B40 perlu diberi perhatian.

Katanya, pemilikan peranti juga adalah perkara diberi perhatian serius oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mahu memastikan setiap keluarga ada peranti bersesuaian untuk pembelajaran dan aktiviti-aktiviti produktiviti.

"Oleh itu, kita melancarkan peranti Keluarga Malaysia, mulai tahun depan bagi mahasiswa dan mahasiswi golongan B40.

"Kita juga berharap lebih ramai pihak termasuk badan korporat, syarikat swasta dan sebagainya tampil membantu serta memberi sumbangan peranti kepada pelajar-pelajar memerlukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 4:41 PM