ABDUL Rahman ketika sidang media.FOTO Roselan Ab Malek
ABDUL Rahman ketika sidang media.FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Lipis: Risda akan membina kilang lateks bagi mengeksport lateks beku yang kini mendapat permintaan tinggi sekaligus dapat meningkatkan harga getah.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, negara pengeluar tayar seperti Jerman dan Jepun amat memerlukan getah dalam bentuk lateks berbanding skrap.

Katanya, pada masa ini hanya terdapat sebuah kilang lateks milik swasta di Sabah dan ia tidak mampu menampung permintaan tinggi itu.

"Jika kilang ini dibina di Semenanjung ia lebih berdaya saing kerana terdapat 300,000 hektar getah RISDA di sini dan tidak termasuk lagivpekebun persendirian.

"Hasrat untuk membina kilang itu dapat direalisasikan secepat mungkin kerana dalam bajet 2022, RISDA menerimasebanyak RM 508 juta, dan dengan adanya kilang itu ia sekaligus dapat meningkatkan pendapatan pekebun kecil getah seluruh negara.

"Pada masa ini, pekebun hanya menikmati harga kira-kira RM 2.50 hingga RM3 kerana hanya menghasil getah skrap berbanding ia mampu memperolehi harga yang lebih tinggi lagi jika dihasilkan dalam bentuk lateks," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis perasmian Depo Lateks/Skrap dan Penyerahan Dividen Agropolitan Gahai RISDAPahangdi Dewan Kampung Tanjung Gahai.

Turut hadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun dan Ketua Pengarah RISDA Abdullah Zainal.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, pada masa ini RISDA hanya mempunyai 56 depo lateks di seluruh negara dan 14 depo di Pahang.

Katanya dengan adanya kilang lateks itu, sasaran kerajaan untuk memastikan pekebun kecil getah memperolehi pendapatan RM4,500 sebulan menjelang 2025 dapat direalisasikan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Oktober 2021 @ 12:24 PM