Gambar daripada rakaman video yang tular mengenai kejadian seorang wanita ditahan daripada masuk pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur kerana tidak memakai pelitup muka. Foto Ihsan Pembaca
Gambar daripada rakaman video yang tular mengenai kejadian seorang wanita ditahan daripada masuk pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur kerana tidak memakai pelitup muka. Foto Ihsan Pembaca
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Polis sedang mengesan seorang wanita warga asing berusia 51 tahun selepas tular video tidak memakai pelitup muka di sebuah pusat beli-belah di Bangsar di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya mengesan video berdurasi 20 saat itu pada 11.30 malam di Twitter.

Menurutnya, klip video itu memaparkan wanita dipercayai warga asing itu ditahan pengawal keselamatan sebuah pusat beli-belah di kawasan Bangsar kerana tidak memakai pelitup muka ketika cuba masuk ke dalam premis terbabit.

"Hasil penelitian ke atas video tular yang dimuat naik itu mendapati berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 21a Akta 342 dan Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPDPPB)2021 kerana melanggar SOP yang ditetapkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Amihizam berkata, orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular itu kerana bimbang mendatangkan kegusaran awam.

"Sebarang perlanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 boleh dikenakan tindakan undang-undang.

"Saksi awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta hadir ke balai polis berdekatan untuk memberi keterangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 9:40 PM