Muhyiddin menghadiri program Minum Petang Profesional Melaka Bersama Muhyiddin di Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto Hassan Omar
Muhyiddin menghadiri program Minum Petang Profesional Melaka Bersama Muhyiddin di Ayer Keroh, Melaka hari ini. Foto Hassan Omar
Hassan Omar

Melaka: Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan calon yang sebahagian besarnya muda, profesional dan berwibawa untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pas dan Gerakan itu juga terdiri daripada lelaki dan wanita pelbagai kaum.

Menurutnya, mereka akan diberikan peluang melalui pembahagian kerusi yang disepakati bersama berdasarkan konsep saling hormat menghormati dan bekerjasama demi kemakmuran bersama.

"Parti komponen PN sudah selesai berunding dan ia akan dimuktamadkan untuk diumumkan beberapa hari lagi.

"Soal sama ada tiga penjuru atau empat penjuru itu soal lain dan kita akan memastikan calon kita diterima oleh pengundi," katanya ketika sidang media selepas menghadiri program Minum Petang Profesional Melaka Bersama-sama Muhyiddin di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden Gerakan Datuk Dominic Lau Hoe Chai yang juga Timbalan Pengerusi PN dan Pengerusi PN Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen

Beliau berkata, calon di 28 kerusi itu diyakini mampu memberikan keyakinan kepada pengundi untuk diberi peluang berkhidmat kepada rakyat pelbagai agama dan bangsa.

Ditanya mengenai kenyataan Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man supaya parti itu menggunakan logonya sendiri, Muhyiddin berkata, ia adalah pandangan peribadi beliau tetapi PN sudah mencapai keputusan konkrit untuk menggunakan logo tunggal PN bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini.

"Dalam PN kita sudah sepakat parti komponen akan gunakan satu simbol sahaja iaitu logo PN.

"Kita bagi pandangan untuk gunakan logo tunggal atas dasar kepentingan bersama," katanya.

Mengenai keputusan yang bakal diambil Pas berhubung kerjasama parti itu dengan UMNO, Muhyiddin menegaskan PN berharap Pas akan membuat keputusan secara bijaksana.

"Saya serahkan kepada Pas kerana kita sudah bincang panjang lebar dan saya harap mereka boleh memikirkannya semasak-masaknya," katanya.

Diminta mengulas foto beliau memegang wang RM5 ketika menyerahkan barangan makanan kepada seorang penunggang motosikal pada program Gerai Prihatin anjuran PN di Klebang hari ini, beliau berkata, pihak yang tularkan gambar itu sudah kehabisan modal politik.

"Takkanlah saya sebodoh itu hendak bagi rasuah kepada orang...saya sudah agak memang akan ada pihak tertentu mainkan gambar itu kononnya saya bagi rasuah," katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak supaya tidak terjebak dalam permainan politik kotor seumpama itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:51 PM