M Hifzuddin Ikhsan


Alor Setar: Hampir 11,000 Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) seluruh negara akan melalui proses transformasi termasuk pengenalan kepada pembelajaran digital mulai tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pelaksanaan Pelan Transformasi Digital Pendidikan Awal Kanak-Kanak Tabika Kemas bertujuan menjadi aspirasi kepada pembangunan bakat awal kanak-kanak di negara ini.

Katanya, pelaksanaan perancangan ini bakal memberi manfaat kepada kira-kira 200,000 murid Tadika Kemas dengan lebih 10,000 gurunya akan dibekalkan peralatan digital seperti akses internet, televisyen pintar dan komputer.

"Bagaimanapun kita harus menyediakan kemudahan capaian internet terlebih dahulu, bagi Tabika Kemas di bandar dan pinggir bandar mungkin tidak ada masalah, tetapi bagi di kampung dan pedalaman kita perlu sediakan kemudahan dahulu.

"Kita anggar kira-kira 50 peratus tabika ada masalah capaian termasuk di pedalaman Sabah dan Sarawak, jadi agak sukar laksana aktiviti pengajaran digital maka kita perlu selesaikan dahulu masalah capaian ini secara berperingkat," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri Majlis Penutupan dan Penyampaian Hadiah Hari Potensi Tabika Kemas Peringkat Kebangsaan 2021.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata, bagi tempoh jangka panjang pihaknya turut merancang melaksanakan pembelajaran Smart Classroom termasuk menggunakan aplikasi Google dalam pembelajaran murid di Tabika Kemas.

"Guru Tabika Kemas juga akan diberi latihan sehingga mampu melaksanakan pembelajaran digital. Guru tabika kini disyaratkan sekurang-kurangnya memiliki Diploma Bimbangan Awal Kanak-Kanak, disebabkan itu kita yakin mereka berkebolehan.

"Kemas juga bekerjasama bersama Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bagi memberi bimbingan kepada guru tabika kurang pengetahuan berkaitan pembelajaran digital ini," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai nasib kira-kira 10,000 pembantu Tabika Kemas yang pendapatan hanya RM500 sebulan ketika ini, beliau berkata, kertas kerja bagi menaikkan bayaran itu sudah disiapkan pihaknya.

"Pembantu Tabika Kemas ini asalnya adalah sukarelawan yang datang membantu di tabika, mereka ini dahulu datang pada waktu tengah hari dan membantu dalam memasak serta menyediakan makanan kepada murid.

"Tetapi kini, mereka datang pagi bersama guru tabika dan elaun yang diterima sudah tidak sesuai dengan tugas dilaksana. Jadi kita akan cuba membawa perkara ini ke peringkat atas dan sesuaikan elaun berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 7:06 PM
Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menyampaikan hadiah johan kategori Kemas Kids Top Host kategori lelaki kepada Rizq Al Fateh Sarizal dari negeri Melaka pada Majis Penutupan dan Penyampian Hadiah Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan di Hotel Raia, Alor Setar. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR
Datuk Seri Mahdzir Khalid (tengah) menyampaikan hadiah johan kategori Kemas Kids Top Host kategori lelaki kepada Rizq Al Fateh Sarizal dari negeri Melaka pada Majis Penutupan dan Penyampian Hadiah Hari Potensi KEMAS Peringkat Kebangsaan di Hotel Raia, Alor Setar. FOTO LUQMAN HAKIM ZUBIR