Antara wanita yang diperiksa dan ditahan kerana disyaki melacur di sebuah kediaman di Pusat Bandar Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Antara wanita yang diperiksa dan ditahan kerana disyaki melacur di sebuah kediaman di Pusat Bandar Jinjang Utara, Kuala Lumpur semalam. Foto Ihsan PDRM
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

Kuala Lumpur: Sindiket pelacuran kini semakin terdesak apabila menjadikan rumah persendirian sebagai lokasi mereka melakukan kegiatan tidak bermoral itu.

Bagaimanapun, kegiatan mereka tetap berjaya dihidu pihak berkuasa apabila kediaman di Pusat Bandar Jinjang Utara di sini, diserbu semalam.

Serbuan pada 9.30 malam itu dilakukan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan berjaya menahan enam wanita warga asing berusia 26 hingga 48 tahun yang dipercayai pelacur.

"Mereka itu dikesan berselindung di sebalik rumah persendirian bagi mengelak kegiatannya dikesan pihak polis.

"Siasatan awal mendapati mereka baru beroperasi selama dua minggu sebelum serbuan dijalankan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Eng Lai berkata, pihaknya merampas wang tunai berjumlah RM200, kondom pelbagai jenama, minyak urut dan tablet.

"Semua individu yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam aktiviti pelacuran dan Seksyen 39B Akta Imigresen 1959/63 atas kesalahan menyalah guna permit pekerjaan.

"Polis menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan tidak terbabit di dalam aktiviti yang kurang sihat seperti ini memandangkan negara masih dilanda Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Oktober 2021 @ 5:55 PM