KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
KHAIRY Jamaluddin. FOTO Arkib NSTP
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bercadang untuk melaksanakan perolehan ubat antiviral yang didapati berkesan terhadap pelbagai virus termasuk Covid-19.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ia akan dilaksanakan di bawah peruntukan Bajet 2022 yang diumumkan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, peruntukan kepada KKM meningkat sebanyak 1.5 peratus iaitu RM32.41 bilion berbanding RM31.94 bilion pada tahun lalu.

"Peruntukan Pengurusan menyaksikan peningkatan sebanyak 2.96 peratus kepada RM28.03 bilion berbanding tahun sebelumnya. Sebahagian besar daripada jumlah itu adalah untuk program perubatan iaitu sebanyak RM11.64 billion (42 peratus) dan program kesihatan awam sebanyak RM5.22 bilion (19 peratus).

"Sebanyak RM4.38 bilion diluluskan di bawah peruntukan pembangunan, merangkumi projek pembangunan fasiliti kesihatan fizikal termasuk membina hospital dan klinik baharu serta menaik taraf, mengubah suai, membaik pulih fasiliti kesihatan sedia ada.

"Ia turut merangkumi projek pembangunan bukan fizikal dan juga perolehan peralatan perubatan serta bukan perubatan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, pembinaan dua hospital baharu sudah diluluskan iaitu Institut Penyakit Berjangkit di Bandar Enstek, Negeri Sembilan dan Hospital Kapar, Selangor dengan kapasiti masing-masing sebanyak 300 katil.

"Sebanyak RM2 billion diperuntukkan untuk memperkasakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang mana kerajaan sudah menandatangani perjanjian mendapatkan 88 juta dos iaitu lebih 140 peratus penduduk dan cukup untuk memberi dos ketiga kepada semua penduduk berusia 12 tahun ke atas.

"Sejumlah RM2 billion lagi diperuntukkan bagi meningkatkan kapasiti fasiliti perkhidmatan kesihatan awam seperti pembelian bekalan ubat, bahan guna habis, pakaian perlindungan diri (PPE) dan kit kesihatan," katanya.

Beliau berkata, KKM juga diperuntukkan RM70 juta bagi memastikan isu kesihatan mental diberi keutamaan khususnya memantapkan perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikososial, meningkatkan program advokasi serta memperkasa peranan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai penggerak.

Katanya, KKM menyambut baik peluasan skop pelepasan cukai pendapatan bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan meliputi kos khidmat konsultasi pakar psikiatri, ahli psikologi klinikal dan kaunselor berdaftar bagi menggalakkan individu terkesan tampil mendapatkan bantuan.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju menyambung pelantikan secara kontrak bagi lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tamat tempoh khidmat wajib selain menaja program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk manfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan serta pergigian.

"Melalui Bajet 2022 ini juga, KKM akan meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dan mempertingkatkan kesiapsiagaan perkhidmatan kesihatan awam melalui kerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance bagi meningkatkan akses, capaian dan respons perkhidmatan ambulans kepada rakyat," katanya.

Menurutnya, peluasan duti eksais produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasas koko, malt, kopi dan teh selain pelaksanaan duti eksais produk cecair mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik serta vape turut disambut baik.

"KKM berterima kasih atas peruntukan RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Travel Council bagi membantu usaha pemulihan industri pelancongan kesihatan antarabangsa, sekali gus memantapkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelancongan kesihatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:32 PM