Amir Mamat

Masjid Tanah: Keputusan UMNO untuk menjalinkan kerjasama dengan PAS dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan dijangka memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) yang sudah terjalin sebelum ini.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata, keputusan berkenaan sudah pasti ditunggu-tunggu pemimpin serta ahli akir umbi kedua-dua parti berkenaan dalam usaha memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan bangsa dan agama dapat terus dimartabatkan.

Bagaimanapun beliau berkata, UMNO menyerahkan kepada pucuk kepemimpinan parti PAS sama ada menerima cadangan kerjasama itu atau sebaliknya.

"Saya melihat penerimaan akar umbi sejak malam tadi hingga hari ini agak baik selepas sekian lama mereka menunggu, sekali gus memberikan harapan kepada semua penyokong kedua-dua parti supaya MN dapat diterjemahkan dalam PRN Melaka pada 20 November ini.

"Saya melihat keputusan yang dibuat oleh MKT UMNO kepada PAS itu adalah satu tawaran yang memberi kebaikan kepada semua. Kini, terserah kepada PAS untuk menerimanya atau tidak," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Pulau, di sini, semalam.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri turut mengesahkan ada menghubungi pemimpin PAS Melaka berhubung keputusan MKT UMNO itu.

"Saya ada menghubungi beberapa pimpinan PAS Melaka, mereka mengalu-alukan keputusan ini dan menanti keputusan akan dibuat oleh pihak PAS Pusat pada Ahad ini," katanya.

Mesyuarat Khas MKT UMNO, malam tadi, memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan PAS pada PRN Melaka, selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO 2020 iaitu memperkukuhkan MN.

Asas persefahaman UMNO dengan PAS berpandukan kepada prinsip bahawa PAS menggunakan lambang partinya sendiri selaras dengan semangat dan ketetapan Jawatankuasa Induk MN dalam mesyuarat pada 19 Oktober dan 18 November 2020.

Langkah itu untuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri dan pada masa yang sama mengekalkan penggunaan lambang parti masing-masing dalam pilihan raya.

PAS pula akan membincangkan mengenai keputusan UMNO itu pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa PAS Pusat, Ahad ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 8:00 PM