GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Bagi mengutamakan aspek kesihatan awam bagi membina daya tahan negara dalam persediaan ke fasa endemik Covid-19, kerajaan memperuntukkan RM32.4 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perbelanjaan mengurus dan pembangunan.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sebagai kerajaan yang mementingkan kesejahteraan rakyatnya, peruntukan bagi KKM adalah kedua terbesar selepas Kementerian Pendidikan.

Beliau berkata, kerajaan bersetuju untuk meneruskan Agenda Nasional Malaysia Sihat dalam memupuk budaya sihat serta menangani masalah penyakit tidak berjangkit seperti kencing manis, darah tinggi dan obesiti.

Tengku Zafrul juga berkata, kerajaan akan memantapkan pengurusan Klinikal Penyakit Jarang Jumpa di Malaysia seperti lisosomal.

"Selain itu, ke arah gaya hidup sihat, kerajaan bercadang untuk meluaskan kenaan duti eksais ke atas produk minuman bergula dalam bentuk pracampuran berasaskan coklat atau koko, malt, kopi dan teh," katanya ketika membentangkan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata, kerajaan juga bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.

Dalam perkembangan lain, kerajaan telah bersetuju untuk menyambung pelantikan secara kontrak lebih 10,000 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi selepas tempoh khidmat wajib selama dua tahun kepada maksimum empat tahun bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan dan sebagai persediaan pengajian kepakaran mereka.

"Sebagai tambahan, kerajaan bersetuju meluluskan penajaan program kepakaran dengan peruntukan RM100 juta untuk menfaat 3,000 pegawai kontrak perubatan dan pergigian," katanya.

Tengu Zafrul turut berkata, RM70 juta diperuntukkan bagi terus memastikan isu kesihatan mental diberikan keutamaan antaranya untuk memperkukuh perkhidmatan sokongan, kaunseling dan psikologi, menambah program advokasi serta memperkasa peranan badan bukan kerajaan sebagi penggerak program kesihatan mental.

Kerajaan juga akan bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah dan St John Ambulance untuk meningkatkan akses dan capaian respons perkhidmatan ambulans.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:48 PM