SHAHBUDIN Embun. FOTO arkib NSTP
SHAHBUDIN Embun. FOTO arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kerjasama antara parti-parti Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menjadi penentu kepada pembentukan kerajaan negeri yang baharu dalam kalangan Umno, Pas dan Perikatan Nasional (PN).

Setakat ini peluang untuk rundingan masih lagi terbuka dan ia adalah langkah terbaik bagi memastikan tiada perebutan kerusi yang menyebabkan perpecahan sokongan rakyat negeri itu.

Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu (MPM) Shahbudin Embun berkata, yang ketara ketika ini adalah kerjasama antara Umno dan Pas seperti mana diputuskan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno semalam.

Katanya, sejak termeterai Piagam Muafakat Nasional (MN), desakan umat Islam dan masyarakat Melayu supaya Umno dan PAS kembali menjalin kerjasama dari segi politik semakin kuat kedengaran.

"Pergeseran antara Barisan Nasional (BN) dan PN adalah isu politik yang boleh diselesaikan.

"Saya fikir perlu ada 'domestic arrangement' bagi PRN Melaka ini kerana ia adalah kaedah paling baik dalam situasi politik semasa," katanya.

Katanya dalam konteks MN, kerjasama ini mampu memberi kebaikan bukan sahaja kepada kedua parti ini tetapi juga akan menyumbang kepada pengukuhan dan kesejahteraan umat Islam di dalam negara.

Menurutnya, Umno dilihat sentiasa konsisten dengan beberapa kenyataan dari pucuk pimpinan bahawa parti sejak dari dahulu lagi sentiasa mengambil pendekatan untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana pihak demi untuk memperkasakan dan perjuangannya.

"Dikhabarkan daripada 20 kerusi Melayu, PN mahukan lapan, Pas lima dan selebihnya Umno.

"Kalau diikutkan, perlu kerjasama dan perjanjian dalaman antara ketiga-tiga parti ini untuk memastikan dominasi mereka di semua kerusi yang terbabit," katanya.

Semalam MKT Umno memutuskan parti itu akan meneruskan persefahaman dengan Pas dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 4:17 PM