MOHD Rosman (kiri) memeriksa memeriksa peralatan keselamatan ketika meninjau persiapan menghadapi MTL di Pejabat APM Terengganu di Kuala Nerus, semalam. FOTO GHAZALI KORI
MOHD Rosman (kiri) memeriksa memeriksa peralatan keselamatan ketika meninjau persiapan menghadapi MTL di Pejabat APM Terengganu di Kuala Nerus, semalam. FOTO GHAZALI KORI
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Nerus: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu merekodkan 5,797 kes tangkapan ular dalam tempoh bermula Januari hingga Oktober tahun ini.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah berkata, ia membabitkan pelbagai spesies reptilia dengan ular sawa dan ular tedung senduk merekodkan jumlah tangkapan tertinggi.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sahaja, sebanyak 7,950 kes tangkapan direkodkan dan pihaknya menjangkakan kes tangkapan reptilia itu akan meningkatkan sepanjang peralihan monsun timur laut (MTL) tidak lama lagi.

Katanya, ia berikutan reptilia itu akan keluar mencari lokasi baharu termasuk rumah susulan habitat mereka diancam banjir.

"Kebanyakan kes tangkapan ular ini berlaku di kediaman penduduk kerana ia suka di tempat lembap dan sejuk.

"Jadi, kita nasihatkan penduduk supaya mengelak kawasan rumah mereka daripada bersepah dan perlu lebih berhati-hati memandangkan reptilia ini akan bersembunyi," katanya.

Beliau berkata demikian selepas meninjau persiapan bagi menghadapi MTL di pekarangan Pejabat APM Terengganu di sini, semalam.

Dalam pada itu, Mohd Rosman berkata, terdapat 17 kawasan berdepan risiko terputus hubungan sekiranya berlaku bencana banjir tahun ini.

Beliau berkata, ia membabitkan 11 kawasan di Besut seperti Jalan Kampung Raja/Kuala Terengganu (Kilometer (KM) 11 Kampung Pengkalan Kubur); Jalan Kampung Lampu; Jalan Jerteh/Kuala Besut (KM 11 hingga KM 13 Kampung Nangka); Jalan Jerteh/ Kampung Raja (KM1 hingga KM3 Kampung Nyiur Tujuh) dan Jalan Pasir Akar/Keruak (Kampung La).

Menurutnya, di Dungun, terdapat enam kawasan dikenal pasti berisiko tinggi iaitu Kampung Kuala Jengal; Kampung Rantau Panjang; Kampung Minda, Kampung Tepus, Kampung Dendang dan Kampung Padang Pin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 2:21 PM