Karim nafi bakal dicalonkan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Karim nafi bakal dicalonkan. FOTO NAZRI ABU BAKAR
Nazri Abu Bakar


Melaka: Bekas Ketua Pemuda Umno Melaka Datuk Karim Yaakob menafikan beliau bakal dicalonkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 20 November ini.

Bahkan, bekas Exco Pergerakan Pemuda Umno itu enggan namanya dicalonkan kerana mahu memberi peluang kepada golongan muda.

Katanya, Melaka memiliki ramai calon muda berwibawa yang boleh diketengahkan, dan dalam masa sama memberi nafas baharu kepada corak kepemimpinan Barisan Nasional (BN) serta bergabung dengan muka lama berpengalaman.

"Fokus kini untuk memastikan kemenangan dalam PRN dan saya percaya komitmen jentera BN yang telah serta kini sedang bekerja kuat, mampu menghasilkan keputusan yang baik.

"Berita baik daripada kepimpinan BN yang membuka pintu rundingan seluas-luasnya dengan Pas (dalam PRN Melaka) amat menarik dalam memberi khidmat kepada masyarakat," katanya di sini, hari ini.

Karim sebelum ini pernah di Dewan Undangan Negeri Bukit Baru pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) namun tewas kepada calon Pas dengan perbezaan 48 undi.

Malam tadi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat keputusan untuk bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan dilapor berkata, mesyuarat memutuskan untuk meneruskan persefahaman dengan Pas selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung Umno 2020 iaitu memperkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dalam menghadapi PRN Melaka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Oktober 2021 @ 10:29 AM