SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
SULAIMAN. FOTO Arkib NSTP
Nuraliawati Sabri

Melaka: "Itu keputusan parti bukan keputusan individu, ia dibuat dalam Perhimpunan Agung Umno sebelum ini," itu kata Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno Datuk Seri Sulaiman Md Ali berhubung kata putus mengenai kerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Menurut beliau, segala keputusan dibuat sama ada untuk bekerjasama atau tidak diserahkan kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden Umno.

"Terserah kepada presiden kalau dia kata hari ini bekerjasama dengan siapa pun, kita akan kerjasama. Saya tidak boleh nak cakap boleh atau tidak, arahan parti saya lebih kepada parti.

"Keputusan seperti yang saya sebutkan, itu bukan arahan individu. Ia diputuskan dalam perhimpunan Agung Umno. Apa sahaja nak bekerjasama atau tidak itu yang diangkat dalam Perhimpunan Agung Umno," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perluasan Pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Dengan Pemberian Dos Tambahan dan Dos Penggalak di Seri Negeri, hari ini.

Sulaiman yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, dirinya akan terus setia bersama BN dan menerima keputusan yang dimuktamadkan.

"Saya ingat presiden sudah bagi noktah takkan saya hendak padam noktah itu. Saya hanya mengikut apa sahaja. Saya setia kepada parti, apapun presiden cakap, kalau noktah jadi noktahlah," katanya.

Mengulas soal pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) membabitkan parti politik beliau berkata, hal itu tidak sepatutnya terjadi kerana arahan sudah dikeluarkan.

"Mana yang sudah dikompaun itu kena terima, jadi bayar sahajalah kompaun yang dikenakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:53 PM