Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Seramai 145,976 pelajar di Terengganu akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 8 November depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ia susulan pengumuman peralihan Terengganu ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Isnin lalu.

Beliau berkata, ia membabitkan seramai 66,202 murid iaitu Tahun Satu, Dua dan Tiga serta 35,450 pelajar Sekolah Menengah (Tingkatan Tiga dan Empat).

"Jumlah itu termasuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) serta murid berkeperluan khas (MBK) atau Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) dan murid prasekolah yang memulakan sesi persekolahan pada 3 Oktober lalu.

"Mereka akan memulakan persekolahan di 505 sekolah di seluruh Terengganu mengikut penggiliran dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Secara keseluruhan, terdapat lebih 240,000 pelajar dan murid di Terengganu, namun selebihnya akan memulakan sesi persekolahan pada 14 November depan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Guru Peringkat Negeri Terengganu Tahun 2021 di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Ab Ghani.

Untuk rekod, pembukaan semula sekolah di Terengganu pada 3 Oktober lalu membabitkan 17,193 calon SPM, 4,873 calon STPM dengan 2,166 daripadanya pelajar Semester Dua dan 2,707 lagi pelajar Semester Satu.

Selain itu, seramai 2,566 MBK atau PPKI dan 10,806 murid prasekolah turut terbabit dengan pengoperasian semula sekolah di Terengganu ketika Fasa 3 PPN.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 4:42 PM
SERAMAI 145,976 pelajar di Terengganu akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 8 November depan. FOTO Arkib NSTP
SERAMAI 145,976 pelajar di Terengganu akan memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 8 November depan. FOTO Arkib NSTP