BAZAR Karat.
BAZAR Karat.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Selepas tidak beroperasi akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mei lalu, Bazar Karat Johor Bahru di Jalan Segget dibuka semula mulai hari ini.

Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman berkata, keputusan itu dibuat hasil pertemuan bersama Persatuan Peniaga Bazar Karat bagi membincangkan pembukaan semula pada 24 Oktober lalu.

Katanya, dalam pertemuan itu, turut dibincangkan susun atur operasi berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) dan normal baharu yang digariskan pihak berkuasa.

"Susulan daripada itu, MBJB bersetuju untuk membenarkan semula operasi Bazar Karat Johor Bahru mulai hari ini. Namun persetujuan ini tertakluk kepada pematuhan SOP yang ditetapkan pihak berkuasa dan persatuan peniaga diminta untuk mengambil tanggungjawab memastikan SOP sentiasa dipatuhi oleh peniaga dan pengunjung.

"Peniaga juga diingatkan supaya sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan MBJB seperti waktu operasi, penempatan tapak, kebersihan dan sebagainya," katanya ketika Mesyuarat Penuh Bilangan-9 di Dewan Inai Merah, Menara MBJB di sini, hari ini.

Menurut Mohd Noorazam, sempena Hari Deepavali 4 November depan, MBJB juga meluluskan dua lokasi Bazar Deepavali iaitu di Jalan Ungku Puan di pusat bandar raya ini membabitkan 72 petak dan di Taman Tampoi Indah sebanyak 15 petak.

"Kepada pihak yang ingin menganjurkan apa-apa jua bazar perlu memohon dan mendapatkan kebenaran atau permit daripada MBJB terlebih dahulu.

"Penyewa petak juga perlu menyemak dahulu permohonan yang diluluskan oleh MBJB kepada penganjur supaya mereka tidak menanggung kerugian sekiranya tindakan diambil terhadap penganjur yang tidak mempunyai kelulusan yang sah daripada pihak MBJB," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 2:02 PM