GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohamad Fahd Rahmat
am@hmetro.com.my


Kluang: Polis sedang menyiasat secara terperinci berhubung satu laporan diterima semalam berkaitan dakwaan cubaan culik di Taman Sri Lalang Indah di sini.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, laporan dibuat seorang wanita mendakwa melihat sebuah van berwarna putih bercermin gelap dalam keadaan mencurigakan menghampiri anaknya.

"Pengadu memaklumkan pada jam 8.45 pagi semasa bersama dua anaknya di luar rumah, dia melihat sebuah van dengan nombor pendaftaran tidak pasti menghampiri anaknya yang ketika itu berada pada jarak 30 meter dari dirinya.

"Pengadu mengarahkan anaknya melarikan diri ke rumah dan seterusnya van itu beredar dari tempat kejadian," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha mengesan van itu sedang dilakukan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkan di mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kluang melalui talian 077784222," katanya.

Sejak semalam tular mesej pesanan suara daripada seorang lelaki yang meminta orang ramai berhati-hati berikutan dakwaan kemunculan van putih yang dikaitkan dengan cubaan culik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:24 PM