Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
Yun Mikail


Kota Kinabalu: Pelantikan Focal Person Kebangsaan di setiap daerah di Sabah antara pendekatan terbaik dalam menangani masalah keciciran pelajaran terutama dalam kalangan pelajar di luar bandar dan pedalaman.

Focal Person Kebangsaan Pendidikan (KPM) Sabah Mohammad Arif Sakaran berkata, beberapa program sedang dirangka dan bakal dilaksana bagi menyelesaikan masalah keciciran pelajaran yang jumlahnya masih tinggi.

"Kita masih mencari solusi terbaik untuk menanganinya berikutan banyak faktor yang perlu diambil kira termasuk faktor Sabah ini mempunyai kawasan yang luas dengan bentuk geografi berbukit-bukau.

"Oleh itu, kerjasama daripada semua Focal Person di semua 24 daerah amat diperlukan untuk membantu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) mengatasi setiap masalah berkaitan pendidikan," katanya yang ditemui pada Majlis Makan Malam Bersama Focal Person KPM dan Penyampaian Sijil Focal Person Negeri Sabah di sini malam tadi.

Majlis turut disempurnakan Pengarah Pendidikan Sabah, Datuk Dr Mistirine Radin.

Sementara itu, ditanya mengenai persediaan pembukaan semula sekolah membabitkan murid pra-sekolah, murid berkeperluan khas (MBK), Mohammad Arif berkata, persiapan dilakukan mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan dalam mencegah Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 9:00 AM