Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kesemua 50 rakyat Malaysia termasuk 25 penuntut yang berada di Sudan dilaporkan berada dalam keadaan selamat.

Kementerian Luar menerusi kenyataannya hari ini memaklumkan pihaknya sentiasa berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum.

"Pegawai kedutaan sentiasa berhubung rapat dengan mereka.

"Mereka turut mengambil inisiatif menempatkan sementara seramai 17 rakyat Malaysia dan seorang staf Petronas warga Thailand di Kediaman Rasmi Duta Besar," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan lagi, kedutaan juga menasihatkan rakyat Malaysia yang lain untuk mengutamakan keselamatan masing-masing.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular di Sudan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia menerusi telefon di talian +249990700350 atau emel [email protected] dan media sosial @Malawakil.Khartoum (Facebook) serta @MYEmbKhartoum (Twitter).

Terdahulu, media antarabangsa melaporkan tentera Sudan melancarkan rampasan kuasa ekoran kebangkitan rakyat negara itu yang gagal pada 21 September lalu.

Perdana Menteri Sudan Abdallah Hamdok selain Menteri Penerangan Hamza Baloul dan Gabenor Khartoum Ayman Khalid serta beberapa pegawai kanan kerajaan dilaporkan ditahan oleh pihak tentera negara itu.

Negara Islam di timur benua Afrika itu bergolak selepas kejatuhan Presiden Omar al-Bashir yang memerintah hasil rampasan kuasa pada 1989 sebelum digulingkan tentera pada 2019.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 9:21 PM