Asrol Awang


Kuantan: Polis mengesahkan tiada unsur jenayah membabitkan kematian seorang peneroka yang ditemukan dengan kesan tembakan di Felda Bukit Sagu 4, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, siasatan di tempat kejadian mendapati tiada unsur jenayah setakat ini.

Sehubungan itu, katanya, siasatan menjurus kepada kemalangan ketika mengendalikan senjata buatan sendiri.

"Fokus utama ketika ini ialah mendapatkan maklumat berkaitan senjata terbabit sama ada buatan sendiri atau dibeli di tempat lain.

"Setakat ini, empat individu termasuk isteri mangsa diambil keterangan berhubung kejadian terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam kejadian di sebuah ladang kelapa sawit di Felda Bukit Sagu 4 semalam, mangsa, Mohamad Omar, 67, dari Felda Bukit Sagu, di sini, meninggal dunia di Klinik Kesihatan Bukit Goh pada 4.20 petang.

Hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami kecederaan pada dada kesan tembakan selain luka pada tapak tangan kanan.

Pemeriksaan di lokasi kejadian menemui selaras senapang patah buatan sendiri.

Berita berkaitan

Peneroka maut dengan kesan tembakan di dada [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 6:19 PM