DATUK Ismail Sabri. FOTO Bernama
DATUK Ismail Sabri. FOTO Bernama
Redzuan Muharam


Kuala Lumpur: Malaysia menghargai sokongan Jepun dan sumbangan negara itu ke arah Rangka Kerja Pemulihan Komprehensif Asean untuk mengurangkan kesan Covid-19.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sumbangan vaksin Jepun kepada negara anggota Asean juga satu usaha yang baik.

Beliau berkata, Asean dan Jepun harus meningkatkan kerjasama pelbagai disiplin dalam kesihatan untuk menyediakan rantau ini dengan lebih baik bagi menghadapi kecemasan berkaitan kesihatan pada masa hadapan.

"Sejak 1973, Jepun kekal sebagai rakan setia Asean dan kami menghargai sokongan dan bantuan Jepun selama ini yang sudah menyumbang kepada usaha pembinaan komuniti Asean.

"Sumbangan Jepun menerusi penubuhan Pusat Kecemasan Kesihatan Awam dan Penyakit Baru Asean adalah penting. Penubuhannya tepat pada masanya dan penting untuk membantu Negara Anggota Asean yang amat memerlukan bantuan bagi mengurangkan kesan daripada Covid-19.

"Sebagai persediaan, Malaysia mencadangkan supaya Asean dan Jepun meneroka kemungkinan untuk membantu penyelidik, pakar kami untuk berusaha ke arah pengeluaran vaksin di rantau ini sekali gus membantu menangani kekurangan vaksin serantau dan bersedia menghadapi kemungkinan penyakit baru muncul," katanya pada Sidang Kemuncak Asean ke-24 secara maya, hari ini.

Turut mencemar duli hadir dalam sidang secara maya itu adalah Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah.

Ismail Sabri turut mengambil kesempatan menzahirkan ucapan tahniah kepada Fumio Kishida atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Jepun, baru-baru ini dan kejayaan Jepun menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dan Paralimpik 2020 pada masa yang mencabar.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, keselamatan siber semakin penting dan mendesak apabila dunia perlu menyesuaikan dengan pendigitalan dalam hampir semua aspek kehidupan.

Beliau berkata, dalam hal itu, Asean dan Jepun harus menyatukan lagi kerjasama melalui Pusat Pembinaan Kapasiti Keselamatan Siber Asean-Jepun.

"Malaysia sedang membangunkan program pembangunan profesional keselamatan digital dan pembelajaran sepanjang hayat bertujuan untuk membangunkan pembinaan kapasiti dalam keselamatan siber.

"Dalam hal ini, Malaysia turut mengharapkan sokongan Jepun untuk program yang dicadangkan. Malaysia juga mengalu-alukan cadangan Jepun untuk menjadi tuan rumah sidang kemuncak peringatan khas secara peribadi di Jepun pada 2023, untuk meraikan 50 tahun hubungan dialog," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 1:40 PM