Ahli keluarga arwah kanak-kanak yang maut jatuh dari tingkat tujuh kuarters kerajaan  di Presint 5 berkumpul di luar  bilik mayat Hospital Putrajaya bagi urusan pengebumian.
Ahli keluarga arwah kanak-kanak yang maut jatuh dari tingkat tujuh kuarters kerajaan di Presint 5 berkumpul di luar bilik mayat Hospital Putrajaya bagi urusan pengebumian.
Samadi Ahmad


Putrajaya:"Arwah sangat gembira dan teruja apabila dimaklumkan kami sekeluarga akan bercuti ke Janda Baik, Pahang hujung minggu ini," ujar Md Rizal Ramdzan, 42.

Dia bagaimanapun terkejut apabila anaknya itu Keisya Nawrah,11, meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tujuh kediamannya di Presint 5 di sini, kelmarin.

Rizal berkata, segala perancangan dan tempahan penginapan untuk mereka sekeluarga bercuti sudah diatur.

"Malah arwah yang juga anak perempuan kedua kami tidak sabar untuk bercuti ke sana.

"Malangnya hasrat arwah untuk bercuti bertukar duka apabila Keisya meninggalkan kami sekeluarga buat selama-lamanya," katanya.

Dia berkata, anaknya itu seorang yang ceria dan tidak menunjukkan sebarang perubahan emosi sebelum kejadian.

"Arwah seorang anak yang periang dan suka bergurau senda bersama saya dan adik-beradik lain," katanya ketika ditemui di Hospital Putrajaya di sini, tadi.

Sejak jam 6 petang tadi, ahli keluarga arwah menunggu di perkarangan bilik mayat bagi urusan memandikan jenazah dan pengebumian.

Difahamkan jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Presint 20 di sini.

Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat tujuh sebuah kuarters kerajaan jam 6.55 petang semalam.

Mangsa ditemui orang awam di bawah bangunan dalam keadaan terlentang dan tidak sedarkan diri.

Ketika kejadian ibu bapa kanak-kanak terbabit baharu pulang dari kerja dan mendapati mangsa tiada di dalam bilik.

Berita berkaitan:

  • 'Kanak-kanak perempuan maut jatuh tingkat 7
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 8:14 PM