Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal atau 'Real World Data'.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, Malaysia setakat ini belum menerima data yang diperlukan daripada syarikat pengeluar vaksin Covid-19 bagi meneliti kesesuaian untuk pemberian vaksin itu kepada kumpulan itu.

Bagaimanapun, Aaron berkata, Jawatankuasa Pemilihan Calon Vaksin KKM sedang meneliti keberkesanan dan keselamatan vaksin ke atas golongan itu berdasarkan bukti saintifik melalui kajian klinikal serta data sebenar di peringkat dunia.

"Setakat ini, beberapa kajian klinikal sudah dan sedang dijalankan termasuk pada September lalu, Pfizer-BioNTech mengeluarkan hasil dapatan kajian klinikal fasa tiga bagi usia lima tahun hingga kurang 12 tahun.

"Vaksin ini didapati selamat, ditoleransi dengan baik dan menunjukkan tidak balas antibodi peneutralan yang kuat.

"Melalui kenyataan media Pfizer-BioNTech pada 15 Oktober lalu, data kajian klinikal itu sudah dikemukakan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Amerika Syarikat dan Agensi Perubatan Eropah (EMA)," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) sama ada KKM sudah atau sedang meneliti kesesuaian dan keberkesanan penggunaan vaksin Covid-19 bagi kanak-kanak berusia 12 ke bawah dan sama ada KKM sudah mendapat maklumat berkaitan daripada pengilang vaksin Covid-19.

Katanya, selain itu, China turut meluluskan dua vaksin Covid-19 yang dihasilkan oleh Sinovac Biotech Ltd dan Sinopharm untuk penggunaan kecemasan pada individu berusia tiga hingga 17 tahun.

"Kajian klinikal fasa satu dan dua yang dijalankan oleh mereka mendapati vaksin ini selamat dan mampu merangsang tindak balas imun yang kuat dalam kalangan kanak-kanak dan remaja.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, calon vaksin lain seperti Novavax, Sinovac dan lain- lain sedang dalam kajian klinikal fasa tiga bagi golongan kanak-kanak.

"Malaysia terpilih sebagai satu daripada lokasi Kajian klinikal fasa III Vaksin Sinovac dan kajian ini bakal dimulakan pada hujung Oktober ini dan akan dijalankan di 10 lokasi kajian yang merangkumi lapan fasiliti di bawah KKM, Universiti Malaya dan UiTM (Universiti Teknologi Mara)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 12:08 PM