Siti Rohana Idris


Machang: Beralaskan bantal yang digunakan untuk melapik kepala yang berat, pergerakannya dengan cara menyeret tubuh langsung tidak mendatangkan kesukaran baginya walau sesekali dilihat mengah.

Meskipun perlu membawa beban kepala yang hampir menyamai berat badan, Nor Nafini Azrin Abdul Manaf, 33, yang menghidap hidrosefalus sejak lahir tetap mampu berdikari dan menguruskan diri sendiri tanpa bergantung kepada sesiapa.

Tidak hanya itu, Nor Nafini yang mesra dipanggil Kak Long itu juga tidak kekok menguruskan kerja rumah termasuk menyapu sampah, menjemur di ampaian serta melipat pakaian walaupun dalam keadaan berbaring.

NOR Nafini bergerak dengan cara menyeret tubuh beralaskan bantal. FOTO Siti Rohana Idris
NOR Nafini bergerak dengan cara menyeret tubuh beralaskan bantal. FOTO Siti Rohana Idris

Ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jenerih Bongkok di sini, anak sulung daripada lapan beradik yang menetap bersama neneknya, Khadijah Ibrahim, 73, kelihatan ceria dan sedikit melaram dengan lengkap berbaju kebaya dan mengenakan gincu kerana menerima kunjungan.

Kak Long berkata, keadaannya yang sebegitu ditambah dengan melihat caranya bergerak, orang ramai akan mudah bersimpati malah sering bertanyakan sama ada rasa sakit atau letih kerana perlu membawa dan mengheret tubuh terutama saiz kepalanya yang berukuran kira-kira 100 sentimeter.

"Lebih 30 tahun saya bergerak dengan cara sebegini maka tiada apa-apa kesulitan dialami walau orang melihat ia agak sukar tapi sekurang-kurangnya saya mampu bergerak berbanding orang lain yang senasib tapi hanya terlantar.

"Rutin harian saya sama seperti mereka yang normal yang mana segala urusan dilakukan sendiri sama ada mandi, membuang air, memakai baju dan makan yang tidak memerlukan bantuan orang lain cuma yang membezakannya adalah saya tidak boleh bangun disebabkan tidak mampu menampung saiz kepala yang berat," katanya yang turut memiliki kemahiran mengurut.

NOR Nafini menghidap hidrosefalus sejak lahir. FOTO Siti Rohana Idris
NOR Nafini menghidap hidrosefalus sejak lahir. FOTO Siti Rohana Idris

Walaupun Kak Long yang dijaga oleh neneknya sejak bayi itu ditatang bagai minyak yang penuh, hubungannya dengan ibu bapa serta tujuh adik yang menetap di Kok Lanas, Kota Bharu tidak renggang malah dia sentiasa dijenguk ahli keluarga yang lain.

Dalam keramahannya bercerita, Kak Long berkata setakat ini dia tidak pernah mengalami sakit atau lenguh di mana-mana bahagian tubuh disebabkan pergerakannya sebegitu sebaliknya hanya perlu kerap menukar sarung bantal disebabkan cepat kotor berikutan diseret ke sana sini.

Bagaimanapun apa yang menyulitkannya adalah perlu sentiasa memakai lampin pakai buang atau kain disebabkan cecair dari kepalanya yang keluar melalui saluran kencing setiap masa.

Tidak menafikan sesekali timbul keinginan untuk keluar berjalan-jalan seperti orang lain, Kak Long berkata, perasaan itu bagaimanapun tidak terlalu dituruti kerana baginya, berada di rumah dan dikelilingi ahli keluarga yang sentiasa menyayanginya sudah memadai.

"Kekurangan saya hanyalah tidak dapat bangun sahaja tapi masih mampu bergerak dan bercakap jika ingin dibandingkan dengan mereka yang lagi tidak bernasib baik," katanya.

Bagi Khadijah pula, dia tidak pernah menganggap cucu sulungnya itu sebagai beban buatnya sebaliknya sentiasa bersyukur kerana Nor Nafini tidak banyak ragam malah belum pernah diuji dengan penyakit lain.

Menyifatkan cucunya itu sebagai seorang yang sangat berdikari, Khadijah berkata, dia bagaimanapun tidak pernah meninggalkan Nor Nafini dalam tempoh yang lama kerana bimbang apa-apa berlaku kepada cucu kesayangannya itu.

"Kak Long tidak pernah menyusahkan sesiapa dan selagi mampu melakukan sendiri, dia tidak akan meminta bantuan dan kehadirannya membawa keceriaan kerana dia seorang yang peramah serta ceria seolah-olah bukan seorang yang 'istimewa'," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 10:19 AM