GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Shah Alam: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk seorang eksekutif syarikat berkaitan kerajaan (GLC) kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan dalam urusan projek.

Dua lagi yang ditahan ialah pemilik syarikat swasta iaitu masing-masing seorang lelaki dan wanita dipercayai terbabit dalam projek berkenaan.

Suspek berusia 40 hingga 57 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Selangor jam 4.30 petang tadi.

Menurut sumber, eksekutif syarikat GLC itu menggunakan kedudukan sebagai ketua projek dengan mengesyorkan dan melantik proksi sebagai pengurus projek di syarikat swasta berkenaan.

"Pelantikan itu bagi menguruskan projek bagi pihaknya.

"Ketiga-tiga suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam, esok, untuk mendapatkan permohonan reman," katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan ketiga-tiga individu itu, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 9:17 PM