ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran SUV jenis Hummer di Plaza Tol Seafield menghala Subang Jaya hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba memadamkan kebakaran SUV jenis Hummer di Plaza Tol Seafield menghala Subang Jaya hari ini. FOTO ihsan bomba
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Kenderaan utiliti sukan (SUV) mewah jenis Hummer musnah terbakar di Plaza Tol Seafield menghala Subang Jaya di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 5.12 petang.

Beliau berkata, sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang dikejarkan ke lokasi untuk memadamkan kebakaran.

"Pemandu iaitu lelaki berusia 30-an bersama penumpang wanita sempat menyelamatkan diri dengan keluar daripada kenderaan sebaik menyedari kepulan asap dari bawah kenderaan.

"Kebakaran berjaya dipadamkan dengan anggaran kemusnahan kira-kira 90 peratus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, Hafisham berkata, punca kebakaran masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 8:09 PM