Amirul Aiman Hamsuddin


Shah Alam: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Kemuning, V Ganabatirau hari ini memohon maaf secara terbuka berhubung tindakannya mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kakitangan Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) susulan tinjauan dan pemantauan banjir di Taman Sri Muda, di sini, baru-baru ini.

Ganabatirau mengakui kesilapan itu dilakukannya selepas video beliau tular di laman sosial hingga mengundang kemarahan pelbagai pihak.

"Saya suarakan perkara ini bukanlah untuk menjadi hero, tetapi disebabkan berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan itu.

"Saya sedar telah bertindak kasar. Oleh itu, saya memohon maaf dengan sepenuh hati kepada pihak yang terbabit," katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Sebelum ini Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) mendesak Ganabatirau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua penjawat awam, terutama kakitangan JPS.

Presiden Cuepacs, Adnan Mat dilaporkan berkata, pihaknya terkilan dengan tindakan Adun Kota Kemuning itu yang disifatkan sebagai tidak profesional dalam tugas, apatah lagi video tular berkenaan dikatakan dimuat naik sendiri oleh beliau tanpa diketahui niat atau tujuan.

Menurutnya, Ganabatirau sewajarnya menggunakan saluran betul dalam menyuarakan pandangan ataupun masalah dan bukan membuat serangan terbuka di lapangan serta media sosial.

Mengulas lanjut, Ganabatirau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin menegaskan, beliau hanya menjalankan tugas selepas menerima aduan penduduk berhubung masalah banjir di beberapa lokasi di kawasan itu.

"Saya dapati kawasan perumahan dinaiki air hingga ke paras pinggang minggu lalu ekoran masalah perparitan.

"Apa yang menimbulkan kerisauan ialah hujan lebat diramal berlaku di negeri ini selama tiga hari bermula 28 Oktober ini," katanya.

Berita berkaitan

Cuepacs desak Adun Kota Kemuning mohon maaf kepada kakitangan JPS

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:55 PM