Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin. FOTO Arkib NSTP
Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin. FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah

Kota Kinabalu: Bekas Ketua Penerangan Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Dr Yusof Yacob kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sindumin selepas isu pengosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Sindumin dimuktamadkan, hari ini.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Speaker Dun Sabah, Datuk Kadzim M Yahya berkata, beliau sudah meneliti semua dokumen dikemukakan Warisan, Dr Yusof dan peruntukan undang-undang sedia ada mengenai isu pengosongan kerusi terbabit.

Katanya, beliau menerima tiga dokumen daripada Dr Yusof dan dua dokumen daripada Warisan atau ejen parti itu selepas pengumuman keluar parti dibuat Dr Yusof pada 8 Oktober lalu.

"Bagi menentukan status kerusi N35 Sindumin, saya dipandu dokumen dihantar kepada saya, perjumpaan (dengan Dr Yusof) pada 11 Oktober lalu, undang-undang yang ada sekarang dan kes Adun Sebatik yang sama seperti isu dihadapi sekarang.

"Berdasarkan perkara itu, walaupun Dr Yusof bukan lagi ahli parti politik iaitu Warisan, kerusi N35 Sindumin tidak menjadi kosong apabila Dr Yusof mengisytiharkan keluar Warisan pada 8 Oktober lalu.

"Sehubungan itu, Yang Berhormat (YB) Datuk Dr Yusof Yacob masih Adun bagi kerusi N35 Sindumin," katanya.

Dr Yusof mengumumkan keluar Warisan dan menjadi Adun Bebas yang menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada 8 Oktober lalu kerana mahu membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah dihadapi penduduk Sindumin.

Berikutan tindakan itu, Warisan bertindak balas dengan mengemukakan kepada Speaker Dun surat peletakan jawatan Adun Sindumin dan akujanji yang ditandatangani Dr Yusof bahawa beliau perlu meletak jawatan sebagai Adun Sindumin jika keluar parti.

Kadzim berkata, Dr Yusof menghubunginya melalui panggilan telefon memaklumkan keputusannya itu pada hari sama beliau mengumumkan keluar Warisan dan meminta untuk bertemu.

"Perjumpaan itu diadakan pada 11.20 pagi, 11 Oktober lalu. Ketika perjumpaan itu, Dr Yusof menyerahkan Deklarasi Berkanun (SD) mengisytiharkan antara lain bahawa beliau membatalkan semua sumpah dibuatnya dengan Warisan sebelum Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) pada 2020, termasuk jika ada, sumpah untuk mengosongkan kerusi N35 Sindumin jika dia keluar Warisan.

"Seterusnya pada 15 Oktober lalu, saya menerima satu surat daripada sebuah firma guaman mendakwa Dr Yusof melantik mereka.

"Turut dilampirkan bersama surat itu ialah surat peletakan jawatan dikatakan ditandatangani Dr Yusof pada 8 Oktober 2021," katanya.

Beliau berkata, susulan daripada surat peletakan jawatan berkenaan, Dr Yusof yang menafikan melakukan perkara itu mengemukakan satu lagi SD bertarikh 16 Oktober 2021 mengisytiharkan antara lain bahawa beliau tidak pernah menandatangani surat peletakan jawatan sebagai Adun pada 8 Oktober 2021 seperti dikemukakan firma guaman terbabit.

Kes Dr Yusof sama seperti Adun Sebatik, Hassan A Gani Pg Amir yang mengumumkan keluar Warisan pada Februari lalu untuk menjadi Adun Bebas sebelum menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 7:15 PM