PENGARAH JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din. FOTO Bernama
PENGARAH JSJK Bukit Aman Datuk Mohd Kamarudin Md Din. FOTO Bernama
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Polis meminta orang ramai yang kehilangan wang simpanan tetap supaya tampil membuat laporan.

Ia susulan tujuh laporan polis diterima berkaitan kes pecah amanah jenayah yang dipercayai dilakukan seorang pengurus perhubungan pelanggan di sebuah institusi perbankan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, pihaknya sudah menahan individu itu pada 21 September lalu.

"Siasatan mendapati suspek melakukan kesalahan pecah amanah jenayah dengan menggunakan wang simpanan tetap milik mangsa bagi membeli tujuh jongkong emas untuk dirinya.

"Suspek kemudian didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan pada 27 September lalu. Namun dia mengaku tidak bersalah dan ditawarkan jaminan RM30,000," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata, enam lagi laporan polis masih dalam siasatan.

Beliau percaya masih ramai lagi mangsa mengalami kerugian akibat perbuatan suspek namun belum membuat laporan polis.

Justeru, beliau meminta mangsa yang terbabit tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 6:31 PM