(Dari Kiri) Idris Haron, Datuk Nor Azman, Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika perjumpaan Pakatan Harapan di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
(Dari Kiri) Idris Haron, Datuk Nor Azman, Datuk Norhizam Hassan Baktee ketika perjumpaan Pakatan Harapan di Hotel Muzaffar, Ayer Keroh, Melaka. FOTO SYAFEEQ AHMAD
Nuraliawati Sabri


Melaka: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan, kecewa dengan tindakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron didakwa menimbulkan kekecohan pada Mesyuarat Tahunan Umno Cawangan Klebang Kechil, di sini, hari ini.

Menurutnya, Idris kini tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan Umno selepas keahlian beliau digugurkan pada 5 Oktober lalu.

"Kenapa orang bukan ahli hendak datang mesyuarat Umno, itu sesuatu yang pelik tetapi benar berlaku kepada Idris.

"Jangan ganggu Umno lagi, bukannya dia tidak tahu perlembagaan parti. Dia pernah jadi Ahli Majlis Kerja Tertinggi dan Pengerusi Perhubungan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, sekiranya Idris ingin mengadakan ceramah sepatutnya bekas Ketua Menteri Melaka itu mencari lokasi lain bukannya mengganggu majlis Umno.

"Apa hendak disesali lagi, jalan terus sahaja dengan perjuangannya. Dia sudah buat keputusan dan parti mana dia mahu masuk terpulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Tangga Batu, Senator Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad berkata, tindakan Idris itu seolah-olah menganggap dirinya masih lagi dalam Umno.

"Dia seolah-olah tidak faham bahawa mesyuarat Umno mesti dihadiri oleh ahli Umno.

"Tetapi apa yang dilakukan itu, saya fikir satu keadaan amat luar biasa. Kalau orang tua cakap seolah-olah dia ini seperti gila talak," katanya.

Terdahulu, Mesyuarat Tahunan Umno Cawangan Klebang Kechil didakwa berlaku kekecohan apabila Idris dikatakan hadir dan berucap, sebelum mesyuarat bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:24 PM