Wang tunai, dadah syabu dan beberapa peralatan untuk membungkus dadah yang dirampas.
Wang tunai, dadah syabu dan beberapa peralatan untuk membungkus dadah yang dirampas.
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Sindiket pengedaran dadah tumpas berikutan penahanan tiga individu termasuk rampasan dadah jenis syabu bernilai RM200,000 dalam serbuan di sebuah kondominium di Sandakan, semalam.

Serbuan kira-kira 9 malam oleh sepasukan anggota Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) diketuai Pegawai Pemerintahnya Asisten Komisioner Mohamed Rafiq Mohamed Mustafa turut merampas wang tunai keseluruhan berjumlah RM130,680.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, bertindak atas maklumat, sepasukan anggota Task Force Risikan Batalion 20 PGA menahan seorang lelaki di kawasan parkir kondominium berkenaan.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek menemukan sejumlah wang tunai dengan nilai RM80,000 disyaki hasil daripada kegiatan penjualan dadah.

"Hasil soal siasat, anggota menyerbu sebuah unit rumah di kondominium berkenaan dengan dipandu arah oleh suspek dan menahan dua lagi individu termasuk seorang wanita.

"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah itu menjumpai tiga bungkusan plastik disyaki mengandungi dadah jenis syabu dengan berat 2,676 gram dianggarkan bernilai RM200,000 dan wang tunai bernilai RM50,680," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain itu, Abdul Rani berkata, turut ditemui mesin kiraan wang, mesin untuk membungkus, alat penimbang digital, telefon bimbit dan komputer riba.

"Ketiga-tiga suspek berusia 29, 37 dan 41 tahun ditahan kerana disyaki menagih dan mengedar dadah. Semua rampasan termasuk kenderaan Toyota Hilux dianggarkan bernilai RM370,680," katanya.

Katamya, tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan untuk tindakan lanjut .

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:05 PM