DATUK Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) dan Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) melihat proses suntikan vaksin COVID-19. FOTO Bernama
DATUK Seri Amirudin Shari (dua dari kiri) dan Dr Siti Mariah Mahmud (kiri) melihat proses suntikan vaksin COVID-19. FOTO Bernama
Ruwaida Md Zain


Klang: Bukan hanya memberi fokus terhadap pelajar sekolah malah Program Vaksin Selangor (SelVAX) Remaja turut menyasarkan remaja yang tercicir dari data serta tidak lagi bersekolah.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sasaran 10,000 remaja di negeri ini dijangka dapat dicapai berdasarkan perkembangan terkini selain masih ramai remaja mendaftar untuk vaksinasi sehingga tadi.

Katanya, sehingga semalam lebih 3,000 remaja yang sudah mendaftar akan menerima vaksin melalui program itu.

"Melihat maklum balas yang sangat baik ini, saya yakin kita mampu mempercepatkan proses vaksinasi dikalangan remaja di Selangor sekaligus meningkatkan imuniti mereka terhadap Covid-19.

"SelVax Remaja ini adalah pelengkap Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di mana kita menumpukan kepada kelompok yang secara sukarela untuk mendapatkan vaksin.

"SelVax Remaja juga berperanan mempercepatkan kelompok yang lewat menerima vaksin, terkebelakang dari jadual ditetapkan dan tercicir dari data iaitu tidak bersekolah atau tidak menyambung pendidikan. Ini kelompok yang kita yakin boleh dicapai dengan adanya SelVax Remaja," katanyaselepas Pelancaran SelVax Remaja yang bermula hari ini di Dewan Serbaguna MPK Pandamaran Jaya, di sini, tadi.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Dr Siti Mariah Mahmud; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zamanhuri serta Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Amirudin berkata, semua penerima vaksin jenis Sinovac di bawah program SelVax Remaja sudah mendapat konsultansi dari pegawai perubatan.

"Keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membenarkan penerimaan vaksin Sinovac kepada remaja berumur 12 hingga 17 secara bersyarat.

"Syaratnya, mereka bukan dalam kelompok komorbiditi ataupun mereka yang mempunyai penyakit serius," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 3:04 PM