Ahmad Maslan.
Ahmad Maslan.
Nuraliawati Sabri


Melaka: Umno menegaskan parti itu tidak terlambat dalam mengatur strategi bagi mencapai kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November depan.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, segala persiapan untuk bertanding pada PRN Melaka sudah siap sepenuhnya sejak bulan lalu.

Bagaimanapun, menurut beliau, hanya calon yang akan bertanding dan dengan siapa untuk berunding sahaja belum dimuktamadkan parti itu.

"Tiada persoalan cepat atau lambat. Ada taktikal 'move' juga kalau lambat mahupun cepat.

"Kami sudah bersedia sejak bulan lalu cuma hendak tentukan dengan siapa (bekerjasama) dan siapa calon belum dimuktamadkan, yang lain sudah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan lawatan ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Bukit Terendak, di sini, hari ini.

Menurut beliau, keputusan untuk bekerjasama atau sebaliknya dengan parti lain akan dimuktamadkan pada Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada Khamis ini.

"Kita belum buat keputusan penjuru mana sama ada kiri, kanan, depan atau belakang. Sebarang keputusan akan dibuat pada Khamis.

"Kita berlawan untuk menang, jadi kita berusaha untuk menang, mesti ada keyakinan untuk menang," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata, Umno bukanlah pemecah undi kerana parti itu adalah yang sudah lama ditubuhkan.

"Kami sudah lama dalam perjuangan dan lama di sesuatu tempat, mereka semua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) parti baharu. Pada saya bukan kita pemecah undi merekalah yang memecah undi.

"Parti yang lahir selepas Umno adalah parti baharu, maksudnya orang itu tidak boleh kata orang lama yang jadi pemecah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 2:09 PM