ISMAIL Sabri pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. FOTO Bernama
ISMAIL Sabri pada Majlis Pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching malam ini. FOTO Bernama
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Keberhasilan Kebahagiaan atau 'Key Happiness Outcome' (KHO) digunakan dalam memantau pelaksanaan konsep Keluarga Malaysia bagi melengkapi Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, KHO dan KPI ini menjadi komitmen dan kesungguhan kerajaan, untuk membawa negara keluar daripada kelelahan pandemik Covid-19.

Bahkan, menurutnya, ia akan memperbaiki kedudukan negara dalam carta Indeks Kebahagiaan Dunia atau World Happiness Report yang ketika ini, Malaysia berada di kedudukan ke-81 tahun ini.

"Dua tahun kebelakangan ini adalah tahun paling sukar buat kita semua. Covid-19 hadir sebagai sesuatu yang tidak pernah kita duga dan bersama kesan yang tak terbayang dek akal fikiran.

"Siapa pernah sangka dalam abad ini, senjata bukan lagi menjadi benteng pertahanan menentang musuh, sebaliknya kemanusiaan dan nilai keluarga, menjadi perisai kita," katanya ketika berucap pada pelancaran Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo, di sini, malam ini.

Di sebalik musibah yang menimpa, Ismail Sabri berkata, terselindung rahmat yang tersirat dan hampir dua tahun mendepani pandemik Covid-19, dapat dilihat kebersamaan petugas barisan hadapan, syarikat milik kerajaan dan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), bahkan individu Keluarga Malaysia berganding bahu membantu kerajaan memerangi pandemik itu.

"Yang asing saling tak kenal, tidak kekok menghulur bantuan. Yang berbeza tidak melihat warna untuk memberi makan bahkan yang lawan, bersama menyubur semangat kekeluargaan.

"Di sebalik kepayahan pandemik, inilah semangat yang menyatukan Keluarga Malaysia, umpama 'batang manau, seribu kali embat pasti tak putus'," katanya.

Beliau berkata, lantaran itu, Keluarga Malaysia adalah manifestasi paling andal sebagai panduan untuk memulihkan negara.

"Pelbagai program dan inisiatif yang sudah dan akan dilaksanakan di bawah payung Keluarga Malaysia.

"Ini termasuklah Rumah Ikram Keluarga Malaysia, Skuad Keluarga Malaysia, Pakej Peranti Keluarga Malaysia, Pakej Penjagaan Covid-19 Keluarga Malaysia, Keluarga Malaysia Siaga Bencana, Yayasan Kebajikan Siswa Keluarga Malaysia dan Residensi Rumah Keluarga Malaysia," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kementerian akan memperkenalkan sekurang-kurangnya satu program dan inisiatif yang bermatlamat membantu mengurangkan kesan ekonomi yang ditanggung rakyat.

"Saya berharap ia turut disokong oleh kerajaan negeri. Justeru, suka saya ingatkan, supaya setiap ahli Jemaah Menteri dan kementerian untuk terus konsisten memberi tumpuan kepada program serta inisiatif yang melimpahkan kesejahteraan dan manfaat kepada seluruh Keluarga Malaysia.

"Ini adalah tanggungjawab utama yang saya amanahkan kepada mereka," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Oktober 2021 @ 10:17 PM